Sunday, February 1, 2009

Lee Chong Wei; wira mereka

Jumaat 15/08/08, ketika ini saya menulis sambil mendengar berita di televisyen tentang Lee Chong Wei, pemain badminton Negara yang telah mara ke peringkat akhir setelah menewaskan pemain Korea, di Olimpik China. Serta-merta saya teringat sejarah sukan Olimpik di Olympia bertujuan untuk menghormati Tuhan Zeus. Pada zaman itu, cuma peserta lelaki yang melibatkan diri, acara yang diadakan meliputi gusti, melempar cakera dan merejam lembing. Jelas, Olimpik pada awalnya hanya untuk kepentingan agama, dan sedikit politik, pemenang sukan ini akan dihormati dan dimasukkan ke dalam puisi dan dijadikan patung. Satu strategi untuk mengawal peperangan atau mengekalkan keamanan kerana apabila sukan ini berlangsung semua peperangan dihentikan.
Tapi sukan ini telah hilang kepentingannya dengan penaklukan Rom ke atas Yunani (sekarang dikenali sebagai Greece) apabila Kristian menjadi agama rasmi Empayar Rom, Sukan Olimpik dilihat sebagai festival orang tidak beragama (pagan) dan pada 393 Maharaja Theodosius mengharamkan Olimpik dan sukan ini senyap selama ribuan tahun sehinggalah diadakan semula pada abad ke 19. Dan ketika itu Tanah Melayu melahirkan pesilat-pesilat yang handal, malah ada yang memiliki kuasa mistik yang boleh lesap di udara hanya dengan menarik keluar keris dari sarung, tapi sayang para sultan di abad itu sibuk mempertahankan takhta dan tidak mendaftarkan pesilat yang handal ini ke sukan Olimpik sebab Tanah Melayu dijajah.
Pemberita memberitahu dua edisi sukan olimpik sebelum ini, yakni di Atlanta dan Sydney kontinjen Malaysia pulang dengan tangan kosong, itu saya tak peduli. Bukanlah hal yang luar biasa. Rakyat Malaysia juga telah biasa mendengarnya. Namun ada kelainan pada olimpik di China kali ini, mengapa? Sebab ganjaran wang tunai RM 1 juta ringgit yang diumumkan oleh Najib Razak kepada atlet yang meraih pingat emas, RM 300 ribu untuk pingat perak dan RM 100 ribu untuk gangsa memang mengejutkan ramai sebab sudah tentu Lee Chong Wei mengenggam RM 300 ribu itu, pasti ada yang menyesal kerana tidak berlatih untuk menjadi ahli sukan sepuluh tahun lalu (tapi tidak saya).
Sebab saya pernah memegang raket dan memukul bulu tangkis zaman sekolah menengah, sepuluh tahun lalu sebelum saya menyedari nama saya tidak akan terpahat dalam mana-mana sejarah sukan – tidak diperingkat negara, negeri, daerah atau kampung. Dan saya cukup menginsafi diri bahawa bersukan tidak semestinya untuk masuk pertandingan, sebab pada ketika itu ganjaran untuk pemenang bukan beribu-ribu ringgit, melainkan sebuah piala dan sekeping sijil, yang rupa-rupanya digunakan sebagai mencantikkan resume. Dalam ingatan saya – tahun 1998 ketika Malaysia menjadi tuan rumah sukan Komanwel, saya menonton hanya di kaca televisyen, menyaksikan beberapa orang jaguh negara dalam sukan boling, gimrama, angkat berat dan badminton (sudah tentu) yang meraih pingat diberi ganjaran seorang satu kereta sumbangan Proton.
Dan akhirnya kita harus mengakui, ganjaran memang penting sebagai pendorong (meski saya tak pasti apakah yang ada dalam fikiran Lee Chong Wei – bermain untuk mengangkat martabat negara di mata dunia semata-mata atau kerana ingin merebut pingat atau mengejar ganjaran wang tunai yang lumayan yang dijanjikan kerajaan) apa pun yang berlegar dalam fikiran anak muda yang berasal dari Pulau Pinang itu, juga merupakan kekasih pemain badminton wanita Negara, Wong Mew Choo, yang terkandas di pusingan suku akhir, tidaklah penting untuk kita mengambil tahu, sebab di masa hadapan kita akan terus mengingati bahawa Malaysia hanya bagus dalam sukan badminton.
Ahad 17/08/08, ketika ini saya menulis sambil mendengar dan menyaksikan Lee Chong Wei tewas kepada Lin Dan, kini kita terpaksa akur dan menghormati akan kehebatan China, bukan sahaja dari aspek penguasaan ekonomi dunia yang turut sama digeruni oleh negara sekuat Amerika Syarikat, malah dalam bidang sukan, mereka juga telah menjadi raja, dan dalam badminton mereka telah membina Tembok Besar China yang terlalu kebal untuk diruntuhkan. Dan demi kenyataan itu kita harus mengucapkan tahniah kepada Lee Chong Wei sebab dia tetap wira dalam sejarah Olimpik Malaysia.
Dan apakah mungkin untuk sukan Olimpik 2012 nanti atau Olimpik 2016 atau Olimpik 2020, ganjaran bagi atlet yang meraih pingat emas akan menerima gelaran ‘Dato atau Tan Sri’ berserta wang tunai RM 10 juta bagi memastikan atlet negara kita dari bidang sukan lain akan berlatih bermati-matian? Barangkali akan menjadi realiti apabila sukan skuash telah tersenarai dalam Olimpik dan Nicol David akan melakukan sesuatu untuk mengibarkan Jalur Gemilang di puncak lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment